KUCHING: Kesatuan Eropah (EU) berminat untuk meningkatkan kerjasama dua hala dengan Sarawak khususnya dalam peralihan kepada tenaga hijau.
Menurut Duta Besar dan Ketua Delegasi EU, Michalis Rokas, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menunjukkan minat melibatkan diri dengan EU terutamanya berkaitan pemindahan teknologi, pendidikan dan pertukaran dalam tenaga hijau lestari.
Justeru katanya, duta negara anggota EU akan terus membawa perbincangan dan perkongsian semasa melawat di Sarawak untuk dibawa ke ibu negara mereka dalam mencari jalan kerjasama antara kedua-dua pihak.
“Kami dari 19 anggota negara EU akan membawa perkongsian ini kembali ke ibu negara kami dan akan melihat bagaimana kami boleh meningkatkan perkongsian dua hala antara EU dengan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melakukan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak di Wisma Bapa Malaysia di sini.
Tambah Michalis, EU mempunyai banyak teknologi dalam bidang berkenaan selain mempunyai dasar baharu di mana mereka cuba mempelbagaikan rakan kongsinya di seluruh dunia.
“Antaranya teknologi dalam tenaga baharu seperti bahan api penerbangan mampan dan ketersambungan serta pendigitalan yang sangat penting kepada Sarawak,” ujarnya.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak Kementerian Luar Negeri Duta Fenny Nuli.
GAMBAR:JABATAN PREMIER